Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ditubuhkan pada 01 Mac 1996, dan merupakan Politeknik yang pertama di Sabah dan yang ketujuh di Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Bermula dengan kampus sementara di Sekolah Menengah Vokasional Likas, Kota Kinabalu, yang menempatkan Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Unit Hal Ehwal Pelajar, Unit Pentadbiran dan Unit Perpustakaan. Pada tahun 1999, PKK telah membuka kampus cawangan dengan menyewa rumah kedai di Inanam dan menempatkan Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Unit Peperiksaan dan Unit Latihan Industri. Pengambilan sulung pelajar Politeknik Kota Kinabalu seramai 35 orang bermula Sesi 1996/1997 pada bulan Jun 1996.

Pada 01 September 2003, PKK telah beroperasi sepenuhnya secara rasmi di kampus tetap yang mempunyai keluasan 43 hektar (108 ekar) dan terletak di dalam kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sabah, lebih kurang 25km atau 35 minit perjalanan dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu. Antara jabatan dan agensi yang berhampiran adalah Sabah Ports Authority Sdn Bhd, Lembaga Koko Malaysia Sabah dan Tentera Laut DiRaja Malaysia.

Pada 01 Julai 2010, Jabatan Perdagangan (JP) dan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) yang menduduki bangunan utama Core B, kampus PKK telah dipindah lokasi ke rumah kedai yang disewa di pekan Telipok, Kota Kinabalu kira-kira 4.1km atau 6 minit perjalanan dari kampus PKK. Ini adalah susulan daripada keputusan untuk merobohkan bangunan utama Core B atas dasar keselamatan. Penempatan JPH di pekan Telipok selama lapan (8) tahun berakhir apabila PKK menerima bangunan baharu pada 19 Julai 2018 baru-baru ini bagi menggantikan bangunan utama Core B yang dirobohkan.

Bangunan baharu bernilai RM42 juta itu terdiri daripada empat (4) blok bangunan yang menempatkan Jabatan Perdagangan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti serta Jabatan Matematik, Sains dan Komputer. Ia terletak di kawasan Politeknik Commercial Centre berhadapan dengan kampus tetap PKK, dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Ogos 2018.

PKK menawarkan kursus di peringkat Sijil Khas dan Diploma kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, terbuka kepada warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berusia 18 tahun ke atas.

Terdapat lima (5) Jabatan akademik di PKK iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, serta dua (2) jabatan sokongan akademik iaitu Jabatan Pengajian Am dan Jabatan Matematik, Sains & Komputer.

Selain jabatan akademik PKK turut mempunyai unit-unit sokongan seperti Unit Pentadbiran, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Latihan dan Pendidikan Lanjutan, Perhubungan dan Latihan Industri, Multimedia dan Sumber, Peperiksaan, Perpustakaan, Kolej Kediaman, Pembangunan dan Senggara, Pengurusan Psikologi, Jaminan Kualiti, Komunikasi Korporat, Kewangan, Pengurusan Aset, Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan, Unit Keusahawanan, Unit Pusat Teknologi dan Unit Industri Korporat dan Kebolehpasaran .

Sejak penubuhannya, Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan seramai 27,235 graduan (sehingga Majlis Konvokesyen ke-27).