Page 5 - PowerPoint Presentation
P. 5
PENGENALAN POLITEKNIK KOTA KINABALU
Politeknik Kota Kinabalu (PKK) ditubuhkan pada 01 Mac 1996, dan merupakan Politeknik yang pertama di Sabah dan yang ketujuh di
Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Bermula dengan kampus sementara di Sekolah Menengah Teknik Likas, Kota
Kinabalu, yang menempatkan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Unit Pentadbiran
dan Unit Perpustakaan. Pada tahun 1999, PKK telah membuka kampus cawangan dengan menyewa rumah kedai di Inanam dan
menempatkan Jabatan Perdagangan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Unit Peperiksaan dan Unit Latihan Industri. Pengambilan sulung
pelajar Politeknik Kota Kinabalu seramai 83 orang bermula pada Sesi 1996/1997 pada bulan Jun 1996.
Pada 01 September 2003, PKK telah beroperasi sepenuhnya secara rasmi di kampus tetap yang mempunyai keluasan 43 hektar (108
ekar) dan terletak di dalam kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sabah, lebih kurang 22 km atau 35 minit perjalanan dari
pusat Bandaraya Kota Kinabalu. Antara jabatan dan agensi yang berhampiran adalah Sabah Ports Authority Sdn Bhd, Lembaga Koko
Malaysia Sabah dan Tentera Laut DiRaja Malaysia, Sepanggar Sabah.
Pada 01 Julai 2010, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) yang menduduki bangunan utama Core B, kampus PKK telah dipindah
lokasi ke rumah kedai yang disewa di pekan Telipok, Kota Kinabalu kira-kira 4.1 km atau 6 minit perjalanan daripada kampus PKK. Ini
adalah susulan daripada keputusan untuk merobohkan bangunan utama Core B atas dasar keselamatan. Penempatan JPH di pekan
Telipok selama Lapan (8) tahun berakhir apabila PKK menerima bangunan baharu pada 19 Julai 2018 bagi menggantikan bangunan
utama Core B yang dirobohkan.
Bangunan baharu bernilai RM42 juta itu terdiri daripada empat (4) blok bangunan yang menempatkan Jabatan Pelancongan dan
Hospitaliti, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer. Ia terletak di kawasan Politeknik Commercial Centre
berhadapan dengan kampus tetap PKK, dan telah mula beroperasi sepenuhnya pada bulan Ogos 2018.
PKK menawarkan kursus-kursus di peringkat Sijil Khas dan Diploma kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, terbuka kepada
warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berusia 18 tahun ke atas.
Terdapat lima (5) Jabatan akademik di PKK iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan
Elektrik, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Hospitaliti, serta dua (2) jabatan sokongan akademik iaitu Jabatan Pengajian Am dan
Jabatan Matematik, Sains & Komputer.
Selain jabatan akademik PKK turut mempunyai unit-unit sokongan seperti Unit Pentadbiran, Teknologi Maklumat dan Komunikasi,
Latihan Staf dan Pendidikan Lanjutan, Perhubungan dan Latihan Industri, Pembangunan Instruksional dan Multimedia, Peperiksaan,
Perpustakaan, Kolej Kediaman, Pembangunan dan Penyelenggaraan, Pengurusan Psikologi, Jaminan Kualiti, Komunikasi Korporat,
Kewangan, Pengurusan Aset, Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan, Keusahawanan, Pusat Teknologi (COT) dan Unit Industri
Korporat dan Kebolehpasaran (CISEC).
Sejak penubuhannya, Politeknik Kota Kinabalu telah melahirkan seramai 25,338 graduan (sehingga Majlis Konvokesyen ke-24).